Monday, October 24, 2011

Perbetulkan Nawaitu Menutup Aurat....

Panorama dunia kini, aurat dipandang sepi,
Dibiar terdedah begini,
Kerana hilangnya malu dalam diri.
Di manakah engkau letakkan maruah ini?
Yang menutup rapi, senang berkongsi,
Jutaan mata memerhati meneliti, cuba bertanya pada hati.
Kerana siapa menutup aurat ini?
Penampilan refleksi akhlak.
Pakaian lambang peribadi. Luaran yang diri sendiri perlihatkan adalah salah satu penyebab bagaimana 'first impression' manusia terhadap diri kita. Persekitaran mungkin mendesak saya berbicara tentang ini. Luaran terkadang tidak seiring dengan dalaman. Bimbang andai menjadi fitnah pula.
Terkadang yang menutup sedikit lebih baik daripada yang menutup banyak. Tetapi manusia itu tetap manusia yang punya kesalahan dan tidak sempurna. Yang punya peluang untuk menjadi lebih baik.
Andai berniqob, tonjolkan peribadi yang pandai menghormati hak orang lain. Andai bertudung labuh, tunjukkan peribadi yang mudah menuturkan kata maaf atas kesalahan.
Terkadang disebabkan sikap segelintir yang bertudung labuh mahupun berniqob yang kurang baik, menyebabkan wujud golongan anti tudung labuh terutamanya. Antara faktornya ialah ukhuwah renggang. Daripada sahabat yang mengalami. Masakan pokok akan bergoyang andai tiada angin yang mengusik. Kerana nila setitik, rosak sudah susu sebelanga.
Konsepnya sama sahaja dengan Islam. Islam itu adalah satu cara hidup yang benar. Tetapi oleh kerana sikap penganut agamanya sendiri tidak menggambarkan peribadi akhlak yang diajar Islam. 
Bagaimana mereka yang belum mendapat hidayah dan petunjuk bisa merasa kagum dengan Islam?
Tetapi keadaan umat Islam tidak semestinya menggambarkan Islam itu adalah begitu dan begini.
Benar, bukan?
Jika seorang muslim itu meneguk arak, tidak bermakna Islam mengajar arak itu halal. Lihat. Kesimpulan akhirnya kembali kepada manusia itu sendiri.
Jaga penampilan dan peribadi.
Terkadang mereka yang punya ilmu agama dan lebih menonjol dengan imej soleh atau solehah serta kopiah dan tudung labuh tidak menjanjikan peribadi yang unggul. Itu mungkin kerana ilmu yang ada tidak diamalkan. Mungkin. Lihat kembali diri sendiri bagaimana. Perlu bimbang dengan diri sendiri.
Sekadar contoh. Niat merupakan paksi dalam segala amalan. Setiap apa yang kita lakukan di dunia adalah hanya kerana Allah. Kita menutup aurat kerana Allah.
Kita menyarung pakaian sebegitu bukan mahu bergaya dan ingin menyarung baju-baju yang cantik. Bukan itu yang cuma berlegar dalam fikiran. Mengikut arus fesyen moden semasa walaupun jubah. Tetapi katakan "Aku menutup aurat ini kerana Allah. Aku memakai baju begini kerana Allah."
Andai niat lain daripada matlamat sebenarnya, bagaimana amalan itu pada pandangan Allah?
Tidak semestinya perlu memakai baju kurung dan menyarung jubah itu baru dikatakan menutup aurat dengan sempurna.
Tetapi sudah pasti kita mahu yang terbaik bukan?
Andaikan analogi makanan yang terhidang di atas meja. Memilih untuk ditutup dengan akhbar. Itu pun sudah cukup untuk menghalang lalat-lalat daripada menghinggapi makanan. Tetapi sudah pasti lebih baik andainya ditutup dengan tudung saji. Lebih terjamin dan selamat. Kerana tidak seperti akhbar yang ringan dan mudah terbang dibawa angin. Bisa menangkap maksud saya?
Andai terdetik mahu melakukan kebaikan, bersegeralah. Andai benar payah, ingatlah kematian. Peringatan bahawa kita nantinya akan ditanya dan dipertanggungjawab atas apa yang kita lakukan di dunia. Andai benar susah, cari sahabat yang menyokong dan berada dalam suasana tarbiah solehah. Cari kekuatan di situ. Saya percaya anda boleh!
Menutup aurat itu wajib. Ia satu perintah daripada Allah. Pencipta kita. Oleh itu, kita yang menyedari diri ini hanya hamba, patuhilah suruhan-Nya.
Susah? Mesti taat juga.
Andainya seperti solat. Malas? Memilih untuk meninggalkan solat. Andai malas, menunggu untuk rajin dan ikhlas, baru melaksanakan solat?
Ketahuilah, ikhlas itu tidak akan datang tanpa permulaan tindakan! Kuatkan hati untuk berubah sekarang!
Menutup aurat itu cukup mudah. Jangan memakai pakaian yang ketat dan jarang. Tutup aurat bukan membalut aurat. Menutup aurat itu tidak bermaksud mesti memakai baju kurung dan jubah tetapi asal sahaja konsep menutup aurat itu dipatuhi, mencukupi. Namun, kejarlah yang terbaik.
Andai diri ini sudah sempurna memakai jubah atau kebiasaan memakai baju kurung beserta tudung labuh, saat ini mula teropong hati.
Untuk siapakah kita lakukan itu?
Untuk menarik hati-hati lelaki supaya jatuh cinta?
Untuk menonjolkan imej solehah sebaik mungkin agar mata-mata yang memandang mengatakan kita ini baik?
Lihat, musuh durjana itu pakar dalam membisik. Jaga niat. Sama-sama berpesan. Untuk diri sendiri juga.

0 comments:

Post a Comment