Wednesday, July 13, 2011

Luahan Hati Suami Buat Seorang Isteri.....



Jelmaanmu merentas bongkah sendu
Mengorban naluri merungkai pilu
Mengharungi gurun tanpa bayu
Isteriku...
Kehadhiranmu adalah mustika
Mengerlip cahaya sakinah
Laksana bintang membentuk arah burujnya
Isteriku...
Saban waktu, dirimu abdi di gobokku
Senyum manismu menenang jiwaku
Kerlinganmu mengorak senyumku
Kesetiaanmu menyejuk mataku
Isteriku...
Ketika kesejukan mataku
Memandang wajahmu duhai isteriku
Memori ini mengimbau zaman remajaku
Dikala kuhamparkan tangan ke awan biru
Merintih harap isteri yang solehah
Penyejuk mata dan penyeri rumahtangga
Isteriku...
Di senjakala, ku menongkat resah
Dirimu tersangkar dalam kemiskinanku
Dirimu tak punya manikam permata untuk kukalungkan
Tiada nota ringgit untuk kuunjukkan
Tiada lambang kemewahan untukku hamparkan
Dirimu hanya ku langir debu
Ku balutkan jubah
Ku hilangkan dahagamu secangkir cuma
Ku hambat bosanmu seketika sahaja
Isteriku...
Di hening subuh ku merenung sayu
Dirimu kesepian dalam kesibukkanku
Hari-hari berlabuh kita berasingan
Kesedihanmu, sementara diriku di medan
Kesakitanmu pun tiada aku disisi
Rumahku, dirimulah penanti setia
Sementara bagiku, ia hanyalah dangau persinggahan
Isteriku...
Dirimu masih setia dalam sangkar yang sepi
Demi nilai cinta dan ketaatanmu
Isteriku...
Dongaklah wajahmu ke atas
Hulurlah tanganmu ke hadapan
Tabahlah duhai isteriku
Tidakkan ku sia siakan hidupmu
Kan ku hidangkan ilmu buatmu
Kan ku bawamu ke alam perjuangan
Kan ku hantarkan ke perlembahan hidayah
Isteriku...
Bajailah cinta kita
Tenggelamkanlah kemelut rasamu
Isteriku...
Diriku tetap setia disampingmu
Sungguhpun kita jarang bertemu
Sayang isteriku... sayang isteriku

Sunday, July 10, 2011

Untukmu Suami.....



Pernikahan atau perkahwinan,
Menyingkap tabir rahsia,
Isteri yang kamu nikahi,
Tidaklah semulia Khadijah,
Tidaklah setaqwa Aisyah,
Pun tidak setabah Fatimah,
Justeru, isterimu hanyalah wanita akhir zaman,
Yang punya cita-cita menjadi solehah.
Pernikahan atau perkahwinan,
Mengajar kita kewajipan bersama,
Isteri menjadi tanah, dalam pernikahan atau perkahwinan,
Kamu langit penaungnya,
Isteri ladang ternakan, kamu pemagarnya,
Isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya,
Isteri adalah murid, kamu mursyidnya.
Isteri bagaikan anak kecil tempat bermanjanya,
Saat isteri menjadi madu kamu teguklah sepuasnya,
Seketika isteri menjadi racun kamulah penawar bisanya,
Seandainya isteri tulang yang bengkok berhatilah meluruskannya.
Pernikahan atau perkahwinan,
Menginsafkan kita perlunya iman dan takwa,
Untuk belajar meniti sabar dan redha Allah S.W.T,
Kerana memiliki isteri yang tidak sehebat mana,
Justeru, kamu akan tersentak daripada alpa,
Kamu bukanlah Rasulullah S.A.W,
Pun bukanlah Saidina Ali R.A.
Kamu suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh.